Adat Kelahiran


        Sewaktu Mengandung
            Bidan merupakan orang yang bertanggungjawab tentang kelahiran seorang anak. Bidan terdiri daripada kaum perempuan yang lanjut usia dan mengetahui tentang selok-belok perubatan masyarakat Kadazan secara menyeluruh. Tugas bidan meluas iaitu sejak bayi di dalam kandungan sehinggalah selamat dilahirkan.

            Sejak di dalam kandungan lagi bidan memastikan keadaan bayi berada di dalam keadaan sihat. Kandungan akan dijaga dengan baik dan bidan memberi beberapa pantang larang kepada ibu mengandung. Ini penting supaya kandungan berada di dalam keadaaan sihat. Apabila sahaja bayi dilahirkan, tugas bidan lebih berat. Bidan perlu memastikan bayi dalam keadaan sihat terutama jika seseorang itu beranak sulung.

          Bersalin
            Biasanya ibu yang bersalin dikenakan pantang. Bagaimanapun bilangan hari berpantang bergantung kepada unsur kasta. Bagi orang kebanyakan tempoh berpantang ialah tujuh hari. Bagi orang yang berdarjat, tempoh pantangnya ialah 21 hari. Manakala bagi yang berdarjat lebih tinggi, tempohnya ialah 44 hari.

            Sepanjang tempoh berpantang, si suami tidak dibenarkan berada jauh dari rumah. Sejak hari kelahiran hingga tamat tempoh berpantang, ibu dan anak yang baru lahir diberi kawalan secara mistik oleh bidan agar tidak diganggu oleh makhluk halus. Biasanya jampi mantera digunakan untuk mengusir makhluk halus di sekitar tanah. Tempat darah yang mengalir ketika ibu itu bersalin, digantung dengan daun-daun limau.

            Antara pantang yang mesti diikuti oleh ibu yang bersalin ialah dia tidak boleh makan ikan yang bertulang keras, ikan yang berduri, nasi sejuk dan nasi bercampur air seperti bubur. Manakala bagi bayi yang baru lahir terutamanya dari hari pertama hingga hari ke tujuh, bayi tidak boleh dibawa ke ruang yang terdedah, umpamanya ke halaman rumah. Ini untuk mengelakkan bayi itu daripada diganggu oleh roh jahat yang dinamakan Rogon Gaiyah.

            Bidan juga akan memastikan ahli keluarga yang lain supaya pintu rumah kediaman mereka diikat dengan sejenis daun yang dipanggil wongkong. Daun itu menunjukkan rumah tersebut telah menerima ahli baru. Justeru itu sahabat-handai yang tinggal di kawasan itu tidak boleh berkunjung melainkan saudara-mara yang terdekat.

            Selain mengurus tentang kelahiran anak, bidan ini juga bertanggungjawab tentang ubat-ubatan yang terdiri daripada akar-akar kayu, herba dan sebagainya. Pada masa yang sama beberapa urutan akan dilakukan ke atas ibu yang baru bersalin untuk memulihkan tenaga yang hilang semasa bersalin dahulu. Bidan juga perlu tahu meramu pelbagai jenis bahan untuk dijadikan ubat-ubatan.

            Bidan yang tahu tentang kegunaan sesuatu jenis herba untuk setiap penyakit merupakan satu kelebihan. Biasanya akar-akar kayu atau herba dibentuk menjadi ubat yang mujarab dan boleh mengubati pelbagai penyakit. Antara herba yang paling banyak digunakan dalam masyarakat Kadazan ialah cekur, akar kacip fatimah, halia dan pelbagai jenis lagi. Kebanyakan tumbuhan herba ini diperoleh di kawasan persekitaran.

            Terdapat pelbagai jenis bentuk ubat yang boleh dibuat oleh bidan untuk menyembuh sesuatu penyakit. Bidan boleh merebus sahaja tumbuhan herba itu dan kemudian diberi minum kepada ibu-ibu yang baru bersalin. Cara ini diamalkan oleh sebilangan besar bidan. Cara lain yang turut digunakan ialah dengan mencampurkan minyak kelapa dan kemudian diurut pada bahagian yang sakit. Cara ini digunakan kepada ibu-ibu yang baru bersalin untuk memulihkan semula tenaga mereka.

            Sungguhpun kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk pesakit, tetapi bidan kampung masih lagi diperlukan. Ini adalah kerana kebanyakan masyarakat Kadazan mendiami kawasan pedalaman yang jauh dari klinik atau hospital. Oleh itu peranan bidan amat popular di kalangan mereka.

          Selepas Lahir
            Adat memberi nama anak dilakukan setelah bayi itu berumur lapan hari. Anak itu diberi nama sebanyak dua kali, iaitu nama sementara dan nama sebenar. Pemberian nama sementara mesti dibuat kerana kalau terlalai memberi nama sementara seberapa segera, roh jahat iaitu Rogon Gaiyoh dipercayai akan mendahului memberi nama dan atas sebab itu, dia berhak menuntut anak tersebut.

            Upacara rasmi memberi nama sebenar dibuat pada hari kelapan di beranda rumah. Pada hari itu juga anak tersebut dibawa keluar rumah buat pertama kalinya. Keluarga, jiran dan orang kenamaan di seluruh kampung dijemput hadir untuk berbincang dan menentukan nama anak itu. Upacara ini disebut Madsapi atau Modsopik, lengkap dengan mentera dan tatacaranya. Nama-nama yang dicadangkan itu dikumpul dan dipilih. Pemilihan nama dibuat berdasarkan segala macam peristiwa yang berlaku ketika anak itu dilahirkan. Kadangkala nama itu diambil daripada nama salah seorang ahli keluarga mereka.

            Setelah anak itu berusia kira-kira satu bulan, upacara turun tanah atau disebut Mintuhun atau Minuhun dilakukan. Anak itu dibawa oleh ibunya sendiri. Beberapa baranga dibawa bersama iaitu :

·         Sebuah berait atau bakul yang dianyam daripada rotan, bertutup dan bertali untuk disondong. Berait ini diisi dengan pelbagai alatan.

  • ·         Sebilah mamadik iaitu pisau kecil yang digunakan untuk menghalau Rogon Gaiyoh.
  • ·     Serangkai Komburongoh, iaitu jerangau sejenis rumput yang dianggap ibu kepada segala semangat dalam upacara perubatan tradisi mereka.
  • ·         Sebuah siud iaitu tangguk yang diperbuat daripada jaring.


            Sebelum memijak tanah, tapak anak tersebut diconteng dengan arang kuali dengan satu garis lurus hingga ke atas dahinya. Setelah selesai, barulah kaki anak itu dipijakkan ke tanah. Ketika anak itu dibawa semula ke dalam rumah, ibunya akan membawa bersama sedikit rumput-rampai dari halaman rumah yang sudah dipijak oleh anaknya. Kemudian rumput itu dicampurkan ke dalam air mandian tersebut.

3 comments:

  1. blh x saya tau sumber ni dari mana?

    ReplyDelete
  2. Emak sya bngsa dusun. Herba yg dipakai x ada pn yg disebut sprti d atas.

    ReplyDelete
  3. ada beberapa isi atau fakta yang kurang tepat.. minta maaf ya..
    sila perbaiki ya..nanti orang lain tersilap..terima kasih

    ReplyDelete