Upacara Humabot


Upacara Humabot ialah adat suku kaum Kadazandusun yang diamalkan oleh nenek moyang suku kaum ini apabila mendirikan rumah baru. Sebuah keluarga suku kaum ini yang akan mendirikan rumah akan meminta Bobohizan untuk menjampi tanah tapak rumah itu didirikan.

            Bobohizan memasukkan benda-benda seperti garam, butang baju dan kayu sapad ke liang tanah tempat tiang dipacakkan. Selepas itu Bobohizan akan merenjis air disekitar kawasan tapak rumah sambil membaca mantera, ini bertujuan untuk menghalau roh-roh jahat yang berkeliaran di tapak rumah tersebut yang dipercayai akan mendatangkan malapetaka ataupun dalam bahasa kadazandusun 'kopizo' Tiang akan dipacakkan jika tuan rumah termimpi baik, tetapi jika sebaliknya, maka tapak tiang akan dialihkan sedikit dari tapak asal.

            Apabila rumah sudah didirikan, Bobohizan akan dipanggil lagi dan kali ini upacara 'momodu' atau memandikan rumah akan dijalankan. Bobohizan akan membaca mantera sambil kaum lelaki akan menyalakan apai pada bambu yang hujungnya dibungkus dengan getah (sikalap) dan membawa obor ini mengililingi rangka-rangka atap rumah sambil bertempik sorak atau 'memangkis'. Ini bertujuan untuk menghalau roh-roh jahat pembawa malapetaka.

            Upacara ini biasanya disambut dengan keramaian dan para jemputan akan dihidangkan dengan jamuan. Tuan rumah juga akan memjemput ketua keluarga yang mempunyai ramai anak yang semua masih 'hidup', ke rumahnya dan meminta ketua keluarga itu baring sebentar pada alas tidur tuan rumah. Ini dipercayai bertujuan untuk menjemput rezeki yang berpanjangan kepada keluarga tuan rumah itu.

            Sebulan selepas tuan rumah tinggal di rumah itu maka upacara 'momohontog sisit' iaitu upacara menghormati tiang rumah akan diadakan ianya merupakan acara keramaian seperti magagung, sumazau dan makan besar. Setahun selepas tuan rumah tinggal di rumah baru itu, upacara magavau akan diadakan untuk memuja semangat rumah.

            Seminggu selepas magavau diadakan upacara Humabot pula menyusul, upacara ini juga adalah upacara menghormati rumah dan ianya disambut dengan meriah sekali. Tapai akan disediakan untuk menjamu jemputan yang datang.

            Dalam upacara itu Bobohizan akan menjampi nasi untuk membuat tapai kemudian meletakkanya diatas daun simpur. Air perahan nasi tapai itu akan diminum dan nasinya pula dilontarkan ke dalam ketawai besar (bekas menyimpan padi), ini adalah untuk memberi makan kepada semangat padi 'bambazon' makan. Kaum lelaki juga akan melontarkan nasi tapai pada daun simpur itu ke dalam ketawai sambil bertempik sorak (memangkis) .

            Acara ini berterusan sehingga kesemua nas tapai yang diletakkan atas daun simpur itu habis. Upacara Humabot diadakan setiap selang satu tahun selepas ia diadakan dan lima tahun selepas rumah itu dihumi. Upacara ini juga merupakan upacara keramaian iaitu makan besar dimana seekor kerbau akan ditumbangkan sebagai sogit (korban).

            Nenek moyang suku kaum ini mempercayai bahawa sekiranya upacara-upacara menghormati rumah baru ini tidak dilakukan maka malapetaka pasti akan menimpa keluarga yang tinggal dirumah baru itu, penyakit akan berleluasa, perkara-perkara ganjil dan mengerikan akan terjadi dirumah itu seperti beratus-ratus ekor tabuan (potizukon) akan mengelilingi rumah atau biawak akan tiba-tiba muncul dirumah baru itu.


No comments:

Post a Comment