Hari Keluarga atau "Meginakan"


Masyarakat Dusun mempunyai upacara perpaduan keluarga yang dipanggil meginakan. Semua ahli kelurga dijemput dan satu upacara menyembahyangkan arak Gampian Kinomol yang diketuai oleh mereka yang mahir megendi serta dijalankan pada waktu malam. Setelah selesai upacara tersebut, mereka mengambil bambu atau "Telutuk" untuk dipukul "Tontongon" bagi mengeluarkan bunyi. Menurut kepercayaan mereka memukul bambu bertujuan memperbaiki dunia. Hari keluarga ini dihadiri semua ahli keluarga dan masyarakat kampung selama 7 hari berturut-turut.

   Ketian

            Ketian ialah seorang lelaki yang menyebabkan seorang perempuan mengandung tanpa sebab perkahwinan yang sah. Natijahnya lelaki dicaci dan dikehendaki membayar denda atau sogit berupa babi atau kerbau. Tujuannya menyejukkan panas dalam ahli keluarga dan masyarakat kampung serta memberitahu masyarakat kampung bahawa pesalah telah dihukum setimpal dengan kesalahannya.

   Mencuri atau "Manakau"

            Pencuri dapat dikenal pasti dengan bantuan bomoh yang mahir melalui upacara "mengintutun". Alat-alat yang digunakan semasa mengintutun ialah telur ayam atau cermin. Semasa mengintutun, beberapa ahli keluarga dan masyarakat kampung datang sama-sama menyaksikan upacara mengintutun. Biasanya, bomoh akan memberitahu siapa yang mencuri dan biasanya tuduhan bomoh dipercayai oleh ahli keluarga dan majoriti masyarakat. Implikasinya, orang yang kena tuduh akan mendapat cacian dan celaan masyarakat kampung untuk beberapa waktu. Sebaliknya, pesalah yang melakukan kesalahan besar seperti mencuri kerbau boleh dihalau keluar "elohon" dari kampungnya.

   Kahwin Bersaudara atau "Kepingaian Miadpinai"

            Adalah menjadi kesalahan besar bagi masyarakat Dusun, jika seseorang lelaki atau perempuan berkahwin dengan seseorang yang dipercayai masih ada talian persaudaraan. Jika perkahwinan dilangsungkan juga, si lelaki dan perempuan akan dikenakan hukuman denda iaitu "Pitas" yang terdiri daripada 7 kerbau, 7 ayam, 7 perang, 7 tajau dan 7 mangkuk. Tujuannya ialah memutuskan tali persaudaraan untuk membolehkan mereka berkahwin. Pitas bagi lelaki hendaklah diberi kepada pihak keluarga perempuan dan pitas perempuan pula diberikan kepada keluarga lelaki. Pembayaran pitas ini dipanggil "Mesulak" atau sama-sama membayar denda (bertukar-tukar barang denda).

  Curang atau "Melapau"

            Seseorang lelaki atau perempuan yang telah berkahwin tidak boleh berlaku curang terhadap si suami atau si isteri . Jika berlaku kecurangan hendaklah dikenakan denda berupa kerbau atau babi. Tujuannya adalah dimakan bersama ahli keluarga yang dicuranginya iaitu isteri atau suami dan anak-anak.

No comments:

Post a Comment