Upacara Momohizan ini diadakan
pada bulan Ogos atau bulan September apabila padi selesai dituai. Upacara
momohizan diadakan untuk memuja semangat padi dan memberi makan kepada penjaga
semangat padi supaya membantu untuk menyuburkan padi dan melindungi padi dari
sebarang penyakit atau bencana alam. Upacara momohizan biasanya berlangsung
dirumah keluarga suku kaum Kadazandusun golongan berada. Sementara itu golongan
yang kurang berada akan meminta untuk didoakan bersama ataupun dalam bahasa
Kadazandusun 'mikiompit'.
Dua minggu sebelum upacara ini diadakan tuan rumah akan meminta para penduduk
kampung untuk menolongnya menyediakan 'tapai' iaitu sejenis minuman keras
tradisi Kadazandusun. Upacara Momohizan dimulakan pada sebelah malam iaitu
setelah semua jemputan hadir. Beberapa orang Bobohizan (bomoh suku kaum
Kadazandusun) yang berpakaian serba hitam akan berkumpul dan memulakan upacara
ini dengan memanggil 'miontong pomumuon' (penjaga rumah/semangat padi) Apabila
selesai membaca mantera pemanggilan dalam kata lain apabila semua miontong dan
'tasab' (malaikat padi) sudah dihimpunkan maka Bobohizan akan menaburkan serbuk
ragi (manasad) di atas nasi yang telah dihidangkan di atas nyiru dan diletakkan
di ruang tengah rumah.
Adalah dipercayai bahawa perbuatan manasad dilakukan bersama-sama dengan
miontong. Setelah selesai manasad, nasi yang ditabur dengan ragi itu kemudian
diisi ke dalam sukat (saging) dan diatas nasi itu diletakkan arang (popou),
kemudian mulut sukat ini akan ditutup dengan daud simpur (daingin). Kemudian
Bobohizan akan mengisi beras ke dalam nyiru yang berbentuk segitiga (hihibuh),
ketua Bobohizan akan memungut sedikit beras dari nyiru dan meletakkannya ke
atas gendang.
Sambil membaca mantera, Bobohizan akan mengetuk gendang dan kemudiannya memakan
beras itu, tujuannya ialah untuk menjemput miontong sama-sama memakan beras
tersebut. Selepas itu beberapa orang pelatih Bobohizan yang terdiri daripada
sumandak (gadis-gadis sunti) akan berkumpul dan memukul gendang sambil menyanyi
dan membaca mantera 'tumingak' dan diikuti dengan mantera 'sumava'. Seiringan
dengan itu Bobohizan akan membungkus nasi dengan daun simpur. Nasi yang
dibungkus ini kemudiannya dipungut sedikit-sedikit lalu diisi ke dalam tempayan
kecil. Tempayan ini kemudiannya diletakkan di atas batang bambu yang tingginya
kira-kira tiga kaki dan hujung bambu itu diletak untuk tempayan itu diletakkan.
Batang bambu ini diikat pada tiang rumah dengan menggunakan tali kyang
diperbuat daripada kelapa (hisad).
Setelah itu Bobohizan akan menjemput 'miontong' untuk minum tapai (moginum)
bersama-sama. Setelah itu bobohizan akan bersedia untuk menjemput dewata dari
kayangan untuk turut serta makan minum dan memohon kepada mereka untuk menjaga
dan melindungi padi serta keluarga suku kaum Kadazandusun.
Pelatih Bobohizan akan membaca mentara'mingau' dan diikuti dengan mentera
'kumodong sakazan' ini ialah untuk memanggil semangat kenderaan yang menurut
mereka berbentuk perahu dan akan belayar terapung-rapung di udara. Para
Bobohizan akan menutup muka mereka dengan kain sambil membaca mantera
'modsuut/soikung' iaitu memanggil roh-roh kayangan. Para Bobohizan ini akan
menentukan arah tujuan masing-masing, biasanya dua orang Bobohizan akan belayar
ke kayangan (minsavat).
Acara 'modsuut' ini diiringi dengan paluan gong tanpa henti dan Bobohizan pula
membaca mantera dan mengoncang-goncangkan alat bunyian mereka yang diperbuat
serpihan-serpihan besi disangkutkan pada serpihan tulang rusuk manusia yang
dipercayai diturunkan oleh nenek moyang mereka yang merupakan pahlawan
peperangan (misasangod). Alat bunyian ini dipanggil 'sindayang'.
Antara bahan makanan yang dihidang di tengah rumah sebagai jamuan 'mintong'
ialah nasi, tapai, jeruk ikan (nosom) yang digaul dengan halia dan padi
(santadang paai). 'Modsuut' memakan masa yang agak lama iaitu lebih kurang dari
jam 1.00 tengah malam hingga jam 5.00 subuh. Apabila roh Bobohizan itu sudah
turun ke bumi dengan roh-roh kayangan, maka Bobohizan akan berehat sebentar,
samada mereka akan tidur atau makan.
Semasa Bobohizan berehat, para jemputan akan menarikan tarian tradisional
Kadazandusun iaitu sumazau. Di sebelah pagi pula iaitu lebih kurang jam 6.00
pagi Bobohizan akan memalu gendang sambil membaca mantera 'mihung', 'painsan',
'monduvazan dan Bobohizan akan menyanyikan mantera 'momosik' tompuvan'
(mengejutkan pari-pari yang menjaga rumah).
Seterusnya Bobohizan akan menarik sehelai bulu dari seekor ayam yang telah
disediakan sebagai korban. Korban biasanya ialah seekor ayam dengan seekor
babi. Jantina korban mestilah bertentangan misalannya ayam jantan dengan babi
betina dan sebaliknya. Sehelai bulu ayam tadi akan diikat pada hisad dan ianya
akan dikuis pada tuan rumah dan para tetamu.
Ini ialah untuk melindungi mereka daripada serangan penyakit agar mereka akan
sentiasa sihat dalam mengerjakan sawah padi masing-masing. Setelah itu tetamu
akan dijamu dengan makanan yang telah disediakan seperti nasi, tapai, daging
ayam, daging babi dan sebagainya. Setelah Bobohizan menjamu selera, mereka akan
turun ke bawah rumah dan membawa korban itu bersama-sama mereka. Bobohizan akan
membaca mantera sambil memegang ayam korban dan sumazau.
Selepas membaca mantera, ayam akan disembelih dengan menusuk kepala ayam itu
dengan benda tajam, kadangkala Bobohizan akan menggunakan klip rambut yang
besar(titimbok). Setelah ayam itu mati, bulunya akan dibakar sehingga terhidu
baunya. Ertinya ayam itu kini telahpun dikorbankan kepada miontong. Seterusnya
Bobohizan akan memanggil 'miontong' untuk minum tapai iaitu dengan menuangkan
sedikit tapai ke tanah.
Setelah itu Bobohizan akan memotong, rumput dengqn parang dan membaca mantera
'manau' untuk meminta dewata pulang ke kayangan. Kemudiannya korban-korban itu
akan dibawa naik semula ke rumah. Semasa para Bobohizan naik ke rumah, salah
seorang tuan rumah akan merenjiskan air kepada Bobohizan sebagai membersihkan
Bobohizan yang telah turun ke tanah. Bobohizan pula akan menyanyikan mantera
'sumamboi'.
Bobohizan akan berehat seketika, kemudian acara 'magampah' akan diadakan dimana
tetamu dan ahli keluarga tuan rumah terutamanya kanak-kanak akan duduk
berkumpulan pada suatu tempat (lazimnya ditengah ruang tamu) lalu ditutup
dengan kain yang besar sambil Bobohizan menari-nari mengelilingi mereka dengan
membaca mantera dan memukul dua bilah parang (tandus atau ilang) di atas kain
yang menutuoi kumpulan itu untuk menghalau penyakit.
Bobohizan yang lainnya juga akan menari-nari mengelilingi kumpulan ini dengan
menguis kain penutup dengan batang Lengkuas (tumbu) dan ohok (bunga). Apabila
mantera selesai dibaca, Bobohizan akan mengangkat kain penutup dan mereka yang
ditutup oleh kain itu akan bertempiaran lari kononya untuk meninggalkan
penyakit ditempat mereka berekumpul tadi.
Setelah itu Bobohizan dan para tetamu akan para tetamu akan sumazau. Selepas
jamuan tengah hari, Bobohizan akan membaca mantera 'papasazau miontong' ini
ialah untuk menjemput roh-roh penjaga rumah/padi berpesta menari sumazau
bersama-sama. Sambil sumazau, Bobohizan akan memotong batang bambu (binabat)
yang telah disediakan, kemudian disangkut pada dinding rumah.
Hisad juga akan dihiris-hiris oleh Bobohizan. Hisad yang jatuh ke lantai
akandipungut dan ditabur diatas padi yang dipersembahkan sebagai korban kepada
'miontong'. Selepas itu Bobohizan akan berehat dan pada waktu inilah
korban-korban seperti daging babi dan ayam dibersihkan dan dibahagi-bahagikan.
Bahagian usus korban ini akan dibawa oleh Bobohizan ke sungai untuk
dibersihkan. Upacara ini dinamakan 'humanau', ini juga bertujuan untuk memberi
makan kepada miontong.
Setelah itu kesemua Bobohizan akan mandi, membersihkan diri mereka. Semasa
perjalanan kembali ke rumah tempat momohizan itu diadakan, Bobohizan dilarang
untuk menoleh ke belakang atau tersadung kaki semasa berjalan. Upacara
momohizan ini diadakan selama dua malam dan setengah hari. Malam keduanya
Bobohizan akan membaca mantera 'modsuut' lagi tapi dengan roh penjaga
rumah/padi saja.
Di sebelah pagi hari kedua, bahan korban akan dibahagi-bahagikan kepada para
Bobohizan sebagai sogit dan selepas itu mereka akan dijamu dengan makanan dan
minuman tapai, ketika inilah para tetamu dan Bobohizan akan berbalas pantun
(kizat) atau syair (hius) dan acara ini sememangnya merupakan acara untuk
berhibur yang di selangi dengan gelak ketawa dan usik mengusik. Setelah selesai
makan, Bobohizan akan pulang ke rumah masing-masing dengan berbekalkan sogit
(huus).
No comments:
Post a Comment