Makanan bagi sesuatu kaum
merupakan identiti dan pengenalan bagi sesuatu kaum. Terdapat banyak jenis
makanan dalam masyarakat Kadazandusun. Biasanya kita dapat melihat pelbagai
jenis hidangan ini di musim perayaan seperti Pesta Kaamatan yang dirayakan
setiap tahun iaitu 30 dan 31 Mei.
Selain perayaan, biasanya suku kaum Kadazandusun yang tinggal di kampung, masih
mengamalkan cara masakan atau hidangan secara tradisional ini. Kita juga dapat
melihat dan merasa hidangan seumpama ini pada masa upacara seperti perkahwinan
dan majlis lain di adakan oleh suku kaum Kadazandusun. Antara makanan tradisi
yang terkenal di kalangan kaum Kadazandusun ialah Hinava, Noonsom, Pinaasakan,
Bosou, Tuhau, Sup Kinoring Bakas (tidak halal) dan Sup Manuk Lihing.
Makanan-makanan ini dapat disediakan dengan pelbagai cara mengikut kebiasaan
amalan tradisi kaum Kadazandusun.
Sesungguhnya makanan tradisional bagi kaum Kadazandusun ini amat berbeza dari
kaum yang lain terdapat di negeri Sabah. Selain makanan ini lazat, sudah tentu
ianya juga mempunyai keunikannya yang tersendiri. Masyarakat Sabah telah
dianugerahkan dengan pelbagai jenis makanan. Ini adalah kerana keadaan
semulajadi bentuk muka buminya banyak membekalkan sumber pencarian makanan.
Contohnya, laut dan sungai yang dibekalkan dengan pelbagai jenis ikan, udang
dan sebagainya, hutan rimba yang ditumbuhi dengan pelbagai jenis tumbuhan liar,
herba, buah-buahan dan didiami pelbagai jenis hidupan liar. Masyarakat tempatan
Sabah telah memperkenalkan pelbagai jenis makanan tradisi. Kebiasaan ini
diamalkan oleh lebih dari tiga puluh golongan etnik yang mana lebih dipengaruhi
dengan cara hidup dan keadaan persekitaran tempat tinggal etnik tertentu.
Masyarakat kaum Kadazandusun di Sabah telah mengamalkan cara pemakanan Tradisi
sejak turun-temurun dan masih diamalkan sehingga hari ini. Antara makanan
tradisi yang terkenal di kalangan kaum Kadazandusun ialah Hinava, Noonsom,
Pinaasakan dan Sup Manuk Lihing. Makanan-makanan ini dapat disediakan dengan
pelbagai cara mengikut kebiasaan amalan tradisi Kaum Kadazandusun.
HINAVA
Hinava merupakan makanan yang paling popular di kalangan kaum Kadazandusun.
Bahan yang diperlukan untuk penyediaan makanan ini ialah Isi ikan ( Ikan
Tenggiri ) dihiris halus, biji buah bambangan yang telah diparut, cili merah,
halia, bawang merah , limau kapas dan garam.
NOONSOM
Noonsom lebih dikenali sebagai jeruk dalam Bahasa Melayu. Terdapat beberapa
jenis Noonsom yang telah diperkenalkan oleh Kaum Kadazandusun. Antara yang
paling popular ialah Noonsom Sada (Ikan), Noonsom Bambangan dan Noonsom Tuhau.
Noonsom Sada - Ikan yang digunakan ialah jenis ikan air tawar, dibersihkan dan
dijeruk menggunakan isi buah Pangi (ditumbuk ), nasi dan garam. Campurkan
kesemua bahan dan diisi ke dalam bekas botol/tajau kecil dan biarkan selama
sepuluh atau dua belas hari sehingga boleh dimakan.
Noonsom Bambangan - Isi Buah Bambangan dihiris dan dicampur dengan biji buah
bambangan yang telah diparut dan sedikit garam. Apabila kesemua bahan
dicampurkan, isikan ke dalam bekas botol atau tajau kecil dan biarkan selama
seminggu sebelum dimakan.
Noonsom Tuhau - Isi Tuhau dihiris halus dan dijeruk dengan cuka, garam dan cili
merah. Apabila kesemua bahan telah dicampurkan, isikan ke dalam bekas botol dan
biarkan beberapa minit sebelum dihidangkan.
PINAASAKAN
Bahan yang diperlukan untuk penyediaan makanan ini ialah ikan ( ikan air
tawar/ikan air laut ) , dibersihkan dan dicampur dengan sedikit biji kunyit dan
halia yang telah ditumbuk, sedikit biji asam jawa atau buah asam 'takob-bakob'
, garam, serbuk perasa dan sedikit air. Biarkan ia mendidih sehingga air hampir
kering.
SUP
MANUK LIHING
Masakan ini lebih dikenali sebagai 'Sup Ayam Lihing' dalam Bahasa Melayu. Bahan
yang diperlukan ialah seekor ayam kampung , sejenis minuman keras yang lebih
dikenali 'Lihing' di kalangan kaum Kadazandusun dan hirisan halia. Cara
menyediakan, rebus daging ayam yang telah dipotong dengan setengah cawan lihing
, hirisan halia, garam dan serbuk perasa. Biarkan ia mendidih sehingga daging
ayam betul-betul lembut sebelum dihidangkan.
Mengikut tradisi kaum Kadazandusun, makanan ini sangat sesuai untuk wanita yang
baru lepas bersalin. Kebanyakan makanan tradisi kaum Kadazandusun hari ini
boleh didapati di beberapa restoran tertentu yang biasa menyediakan makanan
tradisi penduduk tempatan.
Selain dari itu, beberapa hotel terkemuka juga memilih untuk menghidangkan
'Hinava' sebagai hidangan khas untuk para pengunjungnya. Keunikan dan
kepelbagaian makanan tradisi yang diperkenalkan oleh masyarakat tempatan Sabah
hari ini merupakan salah satu lagi keistimewaan yang terdapat di negeri di
bawah bayu ini.
give in any request..
ReplyDelete